Tarian Moro
Selamat datang ke Panduan Seni Perlahan untuk Moro Dance (Tarian Moro) oleh Galo Ocampo yang dibawakan khas oleh Galeri Nasional Singapura.
Berilhamkan prinsip tatapan tenang dan keprihatinan, setiap episod Panduan Seni Perlahan mempelawa anda untuk menyelami satu karya seni yang dipamerkan di Galeri. Pengalaman ini bertujuan untuk memperlahankan rentak, mengambil masa untuk menatap dan merenung seni visual, dan menghayatinya dengan penuh kesedaran dan pertimbangan.
Sambil anda menyelami proses yang menumpukan deria dan renungan, kami mempelawa anda untuk peka terhadap fikiran, emosi dan sensasi tubuh yang mungkin boleh mencetuskan perasaan yang sengit atau membebankan. Jika ini pengalaman anda pada hari ini, jangan segan-silu untuk melangkah keluar dan bergerak ke Calm Room (Bilik Tenteram) atau tempat lain yang anda berasa selamat untuk berehat.
Apabila pengalaman anda dengan Panduan Seni Perlahan berakhir, kami berharap anda dapat membentuk jalinan emosi yang lebih erat dengan karya seni berkenaan, berfikiran lebih jelas dan sedar, dan berasa lebih tenteram pada masa kini.
Ambil sedikit masa untuk bersama diri anda. Berikan penghargaan kepada diri anda kerana mengambil masa untuk membelai minda, tubuh dan jiwa anda melalui jalinan dengan seni visual.
Mari mulakan dengan latihan pernafasan yang ringkas. Tumpukan perhatian kepada sensasi pernafasan anda. Anda tak perlu menukar atau merubah apa-apa. Bernafas sahaja.
Anda boleh memilih untuk menutup dan merehatkan mata, atau menatap dengan lembut. Sambil menarik dan menghembuskan nafas, perhatikan rentak pernafasan anda. Tumpukan perhatian kepada nafas anda: Adakah pernafasan anda panjang dan lancar, atau singkat dan pantas?
Jika anda mahu, sila letakkan sebelah tangan di atas perut anda. Rasakan kehangatan tangan anda pada tubuh dan kasih sayang yang disampaikannya. Amati sensasi kembang dan kecut perut anda dengan setiap nafas. Izinkan tubuh anda berehat sambil anda bernafas. Izinkan pernafasan anda untuk membuai diri anda.
Tarik nafas. Lepaskan. Tarik nafas. Lepaskan.
Jika mata anda tertutup, sila bukanya dengan perlahan.
Karya ini ialah Moro Dance (Tarian Moro) oleh Galo Ocampo.
Sambil kita mendalami karya seni ini bersama-sama, sila bergerak dengan cara yang paling selesa. Anda juga boleh duduk di atas lantai galeri di hadapan karya jika mahu.
Kami akan memberi anda sedikit masa untuk menghayati karya berseorangan. Cuba fikirkan apa yang anda sedang tatapi di hadapan anda, dan perasaan yang timbul.
Apakah yang menarik perhatian anda dengan serta-merta? Apakah yang membuat anda tertanya-tanya?
Sekarang, mari kita lihat karya seni ini bersama-sama, bermula dengan titik tumpuan karya, iaitu penari. Perhatikan posisi anggota badan yang lemah gemalai dan jitu, hingga ke sudut kemas dan tajam pada tangan, dan lengkuk tapak kaki penari itu.
Perhatikan bagaimana penari seperti menggerakkan badan dengan mahir dan mudah, garis pergerakannya kukuh dan beralun. Postur tubuh penari menggambarkan daya kawal yang dimiliki atas tubuh sendiri.
Jika anda selesa, cuba tiru gaya beliau. Letakkan tangan mengikut posisi penari, beri perhatian kepada bentuk jari yang menonjol dan anjakan bahu. Bayangkan berat dan tekstur gelang emas pada tangan anda yang berbunyi ketika anda bergerak.
Lihat dengan teliti cara berdiri beliau. Perhatikan bagaimana kaki beliau melengkuk dengan lemah gemalai, dengan otot yang tegang dan kuat. Bayangkan tenaga yang memacu kaki si penari. Mungkin anda ingin cuba cara berdiri ini, dan meniru gaya bengkok lutut serta lengkuk tapak kaki yang tinggi. Bagaimanakah rasa cara berdiri ini pada tubuh anda?
Sekarang, alihkan tumpuan kepada wajah beliau. Mata si penari tertutup. Tenteram dan tenang, beliau seperti tidak menyedari apa-apa yang mungkin berlaku di sekeliling, selain pergerakan beralun tubuh beliau. Agak-agak, apakah yang beliau sedang fikir atau rasa pada saat ini? Sambil melihat penari ini, perhatikan fikiran dan perasaan yang tercetus dalam diri anda.
Sekarang, ambil masa untuk membayangkan apa yang mungkin anda dengar jika melangkah masuk ke alam lukisan ini. Apakah jenis muzik yang berkumandang?
Adakah rentaknya laju atau perlahan? Adakah rentak ini berkumandang lembut di latar? atau sangat kuat sehingga berdenyut bersama nadi anda? Bagaimana pula anda bergerak sebagai respons kepada campuran bunyi dan warna ini?
Perhatikan corak bunga dengan gaya diolah di latar—motif berlingkar dan berlekuk, seperti lengkuk cemeti. Bagi anda, apakah yang dilambangkan? Adakah corak itu latar pentas tarian beliau, atau paparan alam di sekeliling beliau? Adakah motif berlekuk itu memaparkan irama muzik, atau suara penonton yang menyanyi?
Mungkin semuanya gambaran dunia dalaman si penari. Lagipun, penari seperti telah mencapai sepenuh penjiwaan dalam tarian, dan membiarkan tubuh mengambil alih. Minda dan tubuh seiring dan senada. Si penari sudah bersatu dengan corak berputar di sekelilingnya.
Sekarang, mari kita mencuba latihan bertafakur singkat yang berilhamkan kesatuan minda, tubuh dan jiwa seperti yang dicapai oleh si penari. Bertafakur boleh menjadi latihan pemulihan yang penting. Satu cara bertafakur adalah dengan menyedari apa yang berlaku, pada saat ia berlaku.
Dengan perlahan, tutup mata anda jika anda mahu atau anda boleh teruskan menatap dengan lembut. Tumpukan perhatian kepada pernafasan anda. Tarik nafas yang dalam, kemudian lepaskan dengan lembut dan perlahan. Izinkan tubuh anda berehat dan tenang apabila melepaskan nafas.
Sama seperti si penari yang peka terhadap setiap anggota badan yang digerakkan dengan tepat dan kemas, kenal pasti sensasi di setiap bahagian badan anda. Beri diri anda masa untuk menumpukan perhatian kepada setiap bahagian tubuh.
Apa yang dirasai pada bahu anda, tangan, siku, tapak tangan, dan jari-jari?
Tarik nafas dan alihkan perhatian kepada perut anda, pinggul, paha, lutut, betis, buku lali, kaki, dan jari kaki. Akui sebarang sensasi yang dirasa ketika ini.
Sekarang, dengan setiap nafas, alirkan kemesraan dan kebaikan hati kepada diri anda dan merasakan kehangatan yang mengalir kepada setiap bahagian tubuh anda. Luahkan penghargaan kepada setiap anggota badan, organ dan bahagian badan atas jasa memelihara dan mendukung anda. Biarkan penghargaan ini menyerap dari tapak kaki ke betis, paha dan kemudian perut , dada, bahu, dan leher. Biarkan kehangatan ini menyebar ke seluruh wajah anda, kemudian berlabuh di minda.
Sekarang, bayangkan anda dilingkari pusaran berwarna-warni dan alunan berirama lukisan itu. Izinkan warna dan muzik meresap ke seluruh tubuh. Apakah sensasi yang singgah pada kulit atau otot anda? Adakah ia membuat anda ingin menggerakkan tubuh? Bayangkan tubuh anda melebur ke dalam latar yang indah ini, bersatu dengan segala apa yang di sekeliling.
Secara perlahan-lahan, kembalikan perhatian anda kepada pernafasan dan seluruh tubuh anda. Izinkan pernafasan anda menyokong dan menenangkan anda.
Tarik nafas. Lepaskan. Tarik nafas. Lepaskan.
Ketika kita menghampiri penghujung latihan bertafakur ini, anda mungkin ingin merenung soalan berikut: Bilakah kali terakhir anda menari atau melakukan sesuatu yang anda nikmati? Apakah cara untuk membawa lebih banyak pengalaman keriangan dan keasyikan ke dalam hidup anda?
Jika mata anda tertutup, sila bukanya dengan perlahan dan biasakan diri semula dengan persekitaran. Ambil beberapa saat untuk merasai jalinan antara pernafasan anda dan saat ini.
Sekarang, tumpukan perhatian kepada karya di depan anda.
Seniman Filipina, Galo Ocampo melukis karya ini pada 1946, setelah Perang Dunia Kedua tamat, pada tahun Filipina mencapai kemerdekaan. Filipina melalui zaman penjajahan bawah kuasa Sepanyol dan Amerika Syarikat, dan juga melalui zaman Pendudukan Jepun. Berikutan peristiwa ini, ramai seniman Filipina tercari-cari identiti kebangsaan dan budaya yang boleh dilaungkan dengan bangga sebagai milik mereka sendiri. Ocampo tergolong antara mereka. Seiring dengan rakan seangkatan dan teman kolaborasi, Ocampo berminat untuk mendalami cara-cara baharu untuk memaparkan kehidupan moden dari perspektif Filipina.
“Moro” dalam Moro Dance (Tarian Moro) ialah istilah yang merujuk kepada komuniti Islam yang tinggal di selatan Filipina. Sosok penari wanita dengan gaya diolah di bahagian tengah lukisan menunjukkan kebolehan menari yang ternyata bukan dalam gaya tarian Eropah, iaitu tangan dan jari tersusun dalam postur yang menekankan lenggok tarian rakyat Filipina. Karya Moro Dance (Tarian Moro) memaparkan subjek yang ternyata mempunyai asal usul peribumi, lantas mencadangkan bahawa Filipina sebagai sebuah negara boleh dibayangkan semula melalui seni.
Kita sudah tiba di penghujung episod Panduan Seni Perlahan ini.
Jika anda menyukai episod ini, anda boleh mendengar episod lain yang memaparkan karya berbeza. Setiap Panduan Seni Perlahan mengandungi amalan tatapan perlahan dan keprihatinan yang membantu anda melihat karya seni dengan penuh makna. Karya-karya yang dipaparkan adalah dari The Care Collection, satu koleksi karya seni dari Koleksi Nasional yang disusun secara tematik untuk menyokong program yang tertumpu pada kesejahteraan diri.
Jika anda memerlukan ruang khusus untuk istirahat sensori dan emosi, anda boleh melawat The Calm Room (Bilik Tenteram) yang terletak di Basement 1 di Sayap City Hall. Di sana, anda boleh mengikuti latihan keprihatinan selama sepuluh minit.
Kini kami mempelawa anda untuk meneruskan lawatan di Galeri. Luangkan masa untuk menikmati seni di sekeliling anda.
Artwork details
- Artist Name
- Galo B. Ocampo
- Full Title
- Moro Dance
- Time Period
- 1946
- Medium
- Oil on canvas
- Extent Dimensions (cm)
- Dimensions 2D: Image measure: 94.4 x 74 cm
Frame measure: 94.4 x 74 cm
Frame measure: 109.7 x 89.4 cm - Credit Line
- Collection of National Gallery Singapore
- Geographic Association
- Philippines
- Accession Number
- 2002-00216