Stop 2
5205

Wajah

Fua Haribhitak
Artwork
Galeri Asia Tenggara UOB 7
Use headphones for a better listening experience and to be considerate to others.
5205.Wajah (0:00)
0:00
0:00

Selamat datang ke Panduan Seni Perlahan untuk Face (Wajah) oleh Fua Haribhitak yang dibawakan khas oleh Galeri Nasional Singapura.

Berilhamkan prinsip tatapan tenang dan keprihatinan, setiap episod Panduan Seni Perlahan mempelawa anda untuk menyelami satu karya seni yang dipamerkan di Galeri. Pengalaman ini bertujuan untuk memperlahankan rentak, mengambil masa untuk menatap dan merenung seni visual, dan menghayatinya dengan penuh kesedaran dan pertimbangan.

Sambil anda menyelami proses yang menumpukan deria dan renungan, kami mempelawa anda untuk peka terhadap fikiran, emosi dan sensasi tubuh yang mungkin boleh mencetuskan perasaan yang sengit atau membebankan. Jika ini pengalaman anda pada hari ini, jangan segan-silu untuk melangkah keluar dan bergerak ke Calm Room (Bilik Tenteram) atau tempat lain yang anda berasa selamat untuk berehat.

Apabila pengalaman anda dengan Panduan Seni Perlahan berakhir, kami berharap anda dapat membentuk jalinan emosi yang lebih erat dengan karya seni berkenaan, berfikiran lebih jelas dan sedar, dan berasa lebih tenteram pada masa kini.

Ambil sedikit masa untuk bersama diri anda. Berikan penghargaan kepada diri anda kerana mengambil masa untuk membelai minda, tubuh dan jiwa anda melalui jalinan dengan seni visual.

Mari mulakan dengan latihan pernafasan yang ringkas. Tumpukan perhatian kepada sensasi pernafasan anda. Anda tak perlu menukar atau merubah apa-apa. Bernafas sahaja.

Anda boleh memilih untuk menutup dan merehatkan mata, atau menatap dengan lembut. Sambil menarik dan menghembuskan nafas, perhatikan rentak pernafasan anda. Tumpukan perhatian kepada nafas anda: Adakah pernafasan anda panjang dan lancar, atau singkat dan pantas?

Jika anda mahu, sila letakkan sebelah tangan di atas perut anda. Rasakan kehangatan tangan anda pada tubuh dan kasih sayang yang disampaikannya. Amati sensasi kembang dan kecut perut anda dengan setiap nafas. Izinkan tubuh anda berehat sambil anda bernafas. Izinkan pernafasan anda untuk membuai diri anda.

Tarik nafas. Lepaskan. Tarik nafas. Lepaskan.

Jika mata anda tertutup, sila bukanya dengan perlahan.

Karya ini ialah Face (Wajah) oleh Fua Haribhitak.

Sambil kita mendalami karya seni ini bersama-sama, sila bergerak dengan cara yang paling selesa. Anda juga boleh duduk di atas lantai galeri di hadapan karya jika mahu.

Kami akan memberi anda sedikit masa untuk menghayati karya berseorangan. Cuba fikirkan apa yang anda sedang tatapi di hadapan anda, dan perasaan yang timbul.

Apakah yang menarik perhatian anda dengan serta-merta? Apakah yang membuat anda tertanya-tanya?

Sekarang, mari kita lihat karya seni ini bersama-sama. Cuba senaraikan semua ciri wajah yang terpapar dalam karya ini. Pada pendapat anda, apakah ciri yang paling menonjol? Mata kiri atau mata kanan? Atau hidung, atau mulut, atau dagu?

Mari kita selami fikiran atau emosi yang terkandung dalam lukisan ini. Apakah perasaan yang anda dapat rasakan daripada ekspresi pada wajah ini? Adakah wajah ini kelihatan terkejut, ingin tahu atau tenang?

Bayangkan pemilik wajah ini ingin berkata sesuatu kepada anda. Agaknya apakah yang akan dia berkata?

Perhatikan bagaimana wajah ini terbenam dilingkungi pelbagai bentuk dan warna. Di manakah wajah berakhir dan latar karya seni bermula?

Terdapat pelbagai warna dalam lukisan ini, dengan rona ungu, magenta dan hijau. Warna-warna ini menampakkan bentuk-bentuk terpisah, batas yang membezakan antaranya, dan titik pertindihan antara satu sama lain.

Adakah imej mozek ini mengingatkan anda kepada sesuatu?

Mungkin pengalaman merenung ke dalam kaleidoskop, ataupun pengalaman menyaksikan pantulan cahaya matahari pada permukaan air?

Izinkan fikiran anda melayang-layang, dan selami sebarang perkaitan yang mungkin terbentuk di minda anda.

Perhatikan warna-warna di bahagian tengah karya, terutamanya rona-rona gelap yang memperlihatkan ciri-ciri wajah dalam lukisan. Perhatikan bagaimana rona-rona ini berbeza dengan warna pastel lembut di sekeliling.

Adakah komposisi ini melambangkan fikiran subjek? Emosi berpusar pada muka mereka, mendedahkan diri yang berada di dalam.

Meluangkan masa untuk menyelami fikiran dan perasaan kita boleh menjadi latihan penting untuk memahami minda, tubuh dan emosi kita. Ini merupakan satu pendekatan kepada bertafakur, iaitu bergerak dengan lebih prihatin terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita, pada saat ia berlaku.

Cubalah. Tenangkan diri dan tutup mata dengan perlahan jika anda mahu, atau anda boleh terus menatap dengan lembut. Tumpukan perhatian semula kepada pernafasan anda. Luangkan beberapa detik untuk menghayati setiap nafas. Cipta jalinan dengan detik ini.

Sekarang, sambil mendakap imej karya dalam fikiran, ambil seketika untuk memberi tumpuan kepada wajah anda.

Bermula dari kepala, perhatikan mana-mana bahagian yang terasa tegang. Sambil anda menarik nafas dalam, bayangkan alunan rehat dan santai menyusur dari kepala anda menuju ke bahu. Dengan setiap hembusan nafas, izinkan sebarang ketegangan atau tekanan di pelipis dahi, dahi atau di antara kening, untuk dilepaskan.

Sekarang, alihkan perhatian kepada mata anda, hidung, pipi, dan rahang. Pastikan sensasi yang dirasai di setiap tempat.

Adakah rahang anda berasa tegang? Cuba biarkan rahang bawah terbuka sedikit. Rasai perbezaannya.

Perlahan-lahan, alihkan perhatian anda kepada bahu. Angkat sedikit bahu ke arah telinga sambil menarik nafas. Ketika melepaskan nafas, biarkan bahu anda turun semula dan rasakan ketegangannya beransur hilang.

Anda boleh menggerakkan bahu dengan lembut ke depan dan ke belakang sambil anda cuba mengesan sebarang sensasi atau titik tegang.

Dengan setiap nafas, biarkan perhatian anda menyusur ke bawah, bermula dari bahu dan dada dan akhirnya berlabuh di kaki. Rasai sebarang sensasi—kehangatan, denyutan, tekanan.

Sekarang, cuba perhatikan sebarang fikiran atau perasaan yang menyelubungi anda pada saat ini.

Ketika anda mengimbas tubuh, cuba ingat semula emosi yang terungkap oleh wajah dalam karya sebentar tadi. Adakah anda terkesan dengan sebarang emosi? Dapatkah anda menamakan emosi yang dirasai?
 

Di manakah anda merasai emosi ini pada tubuh anda?

Bagaimanakah emosi mengumumkan kehadirannya di dalam tubuh anda? Misalnya, adakah keriangan terasa seperti keringanan atau alunan halus dalam dada? Adakah keresahan mendiami perut anda, ataupun bahu? Adakah kesedihan seperti sesuatu yang menindih, atau amat meletihkan anda? Terbitkan rasa ingin tahu tentang sensasi dalaman ini.

Sekarang, dengan perlahan sila imbas tubuh anda sekali lagi. Perhatikan jika ada sensasi yang telah berubah. Raikan apa-apa yang didapati, dan ketahuilah bahawa tiada perasaan yang betul atau salah.

Lagipun, emosi bersifat lentur; sering beralih dan berubah. Akui dan peringati pengalaman anda sekarang.

Akhir sekali, tingkatkan kesedaran anda supaya meliputi seluruh tubuh. Bernafas seakan-akan seluruh tubuh anda sedang bernafas. Dengan setiap nafas, kukuhkan posisi anda dengan merasai lantai yang menyokong anda.

Tarik nafas. Lepaskan. Tarik nafas. Lepaskan.

Ketika kita menghampiri penghujung latihan bertafakur ini, anda mungkin ingin merenung soalan berikut: Bagaimanakah saya boleh tingkatkan perasaan ingin tahu tentang apa yang berlaku di dalam dan sekeliling saya? Warna dan bentuk apakah yang mencerminkan fikiran dan perasaan dalaman saya?

Jika mata anda tertutup, sila bukanya dengan perlahan dan biasakan diri semula dengan persekitaran. Ambil beberapa saat untuk merasai jalinan antara pernafasan anda dan saat ini.

Sekarang, tumpukan perhatian kepada karya di depan anda.

Dilukis antara 1954 dan 1956 oleh seniman Thailand, Fua Haribhitak, karya ini dihasilkan dalam fasa kerjaya seni Haribhitak yang paling terkenal, semasa beliau menuntut di Accademia di Bella Arti di Rome. Seorang seniman berjiwa memberontak, Haribhitak tidak mudah mengikuti kurikulum pembelajaran yang tegar dan pernah menuntut di pelbagai institusi. Beliau terkenal dengan eksperimentasi gaya, khususnya impresionisme dan kubisme. Kubisme ialah gaya seni yang berasal di Paris pada awal 1900-an, yang mana seniman membayangkan kesudahan jika melihat sesuatu dari pelbagai sudut secara serentak. Dalam karya kubisme, manusia dan objek sering dipaparkan seperti himpunan bahagian yang bercampur aduk.

Berbanding karya Haribhitak umumnya, Face (Wajah) menunjukkan tahap abstraksi yang tinggi. Di sini, beliau menggunakan hanya bentuk terpecah untuk memaparkan ciri-ciri wajah seperti mata, hidung dan bibir. Pendek kata, Haribhitak memberi cebisan-cebisan wajah untuk kita cantumkan dalam minda.

 

Kita sudah tiba di penghujung episod Panduan Seni Perlahan ini.

Jika anda menyukai episod ini, anda boleh mendengar episod lain yang memaparkan karya berbeza. Setiap Panduan Seni Perlahan mengandungi amalan tatapan perlahan dan keprihatinan yang membantu anda melihat karya seni dengan penuh makna. Karya-karya yang dipaparkan adalah dari The Care Collection, satu koleksi karya seni dari Koleksi Nasional yang disusun secara tematik untuk menyokong program yang tertumpu pada kesejahteraan diri. 

Jika anda memerlukan ruang khusus untuk istirahat sensori dan emosi, anda boleh melawat  The Calm Room (Bilik Tenteram) yang terletak di Basement 1 di Sayap City Hall. Di sana, anda boleh mengikuti latihan keprihatinan selama sepuluh minit.

Kini kami mempelawa anda untuk meneruskan lawatan di Galeri. Luangkan masa untuk menikmati seni di sekeliling anda.

Transcript
Share
Artwork details
Artist Name
Fua Haribhitak
Full Title
Face
Time Period
c. 1956
Medium
Oil on canvas
Extent Dimensions (cm)
Dimensions 2D: Image measure: 65 x 55 cm
Frame measure: 74.6 x 64.5 cm
Credit Line
Collection of National Gallery Singapore
Geographic Association
Thailand
Accession Number
2015-00416