Realiti Mistik Berwajah Baharu: Hua
Selamat datang ke Panduan Seni Perlahan untuk The Mystical Reality Reinvented: Hua (Realiti Mistik Berwajah Baharu: Hua) oleh Sulaiman Esa yang dibawakan khas oleh Galeri Nasional Singapura.
Berilhamkan prinsip tatapan tenang dan keprihatinan, setiap episod Panduan Seni Perlahan mempelawa anda untuk menyelami satu karya seni yang dipamerkan di Galeri. Pengalaman ini bertujuan untuk memperlahankan rentak, mengambil masa untuk menatap dan merenung seni visual, dan menghayatinya dengan penuh kesedaran dan pertimbangan.
Sambil anda menyelami proses yang menumpukan deria dan renungan, kami mempelawa anda untuk peka terhadap fikiran, emosi dan sensasi tubuh yang mungkin boleh mencetuskan perasaan yang sengit atau membebankan. Jika ini pengalaman anda pada hari ini, jangan segan-silu untuk melangkah keluar dan bergerak ke Calm Room (Bilik Tenteram) atau tempat lain yang anda berasa selamat untuk berehat.
Apabila pengalaman anda dengan Panduan Seni Perlahan berakhir, kami berharap anda dapat membentuk jalinan emosi yang lebih erat dengan karya seni berkenaan, berfikiran lebih jelas dan sedar, dan berasa lebih tenteram pada masa kini.
Ambil sedikit masa untuk bersama diri anda. Berikan penghargaan kepada diri anda kerana mengambil masa untuk membelai minda, tubuh dan jiwa anda melalui jalinan dengan seni visual.
Mari mulakan dengan latihan pernafasan yang ringkas. Tumpukan perhatian kepada sensasi pernafasan anda. Anda tak perlu menukar atau merubah apa-apa. Bernafas sahaja.
Anda boleh memilih untuk menutup dan merehatkan mata, atau menatap dengan lembut. Sambil menarik dan menghembuskan nafas, perhatikan rentak pernafasan anda. Tumpukan perhatian kepada nafas anda: Adakah pernafasan anda panjang dan lancar atau singkat dan pantas?
Jika anda mahu, sila letakkan sebelah tangan di atas perut anda. Rasakan kehangatan tangan anda pada tubuh dan kasih sayang yang disampaikannya. Amati sensasi kembang dan kecut perut anda dengan setiap nafas. Izinkan tubuh anda berehat sambil anda bernafas. Izinkan pernafasan anda untuk membuai diri anda.
Tarik nafas. Lepaskan. Tarik nafas. Lepaskan.
Jika mata anda tertutup, sila bukanya dengan perlahan.
Karya ini ialah The Mystical Reality Reinvented: Hua (Realiti Mistik Berwajah Baharu: Hua) oleh Sulaiman Esa.
Sambil kita mendalami karya seni ini bersama-sama, sila bergerak dengan cara yang paling selesa. Anda juga boleh duduk di atas lantai galeri di hadapan karya jika mahu.
Kami akan memberi anda sedikit masa untuk menghayati karya berseorangan. Cuba fikirkan apa yang anda sedang tatapi di hadapan anda, dan perasaan yang timbul.
Apakah yang menarik perhatian anda dengan serta-merta? Apakah yang membuat anda tertanya-tanya?
Sekarang, mari kita lihat karya bersama-sama. Perhatikan sangkar dengan teliti. Adakah anda mengenali struktur ini? Di manakah anda pernah melihat sangkar seperti ini, dan apakah kegunaannya? Sangkar ini diperbuat daripada rotan, sejenis bahan organik yang dicat warna perak. Agaknya mengapakah sangkar diperbuat daripada bahan-bahan tersebut?
Bagaimanakah kontras antara bahan semula jadi dan buatan manusia menyumbang kepada makna karya seni ini? Mungkinkah seniman mengecat rona perak pada rotan untuk menyembunyikan atau melindungi sesuatu?
Sekarang, lihat pada bunga ros tunggal yang terkandung dalam sangkar. Apakah yang dilambangkan dengan bunga ros ini? Mengapakah seniman memilih bunga ros? Adakah persepsi anda terhadap karya akan berubah jika bunga lain diletakkan di dalam sangkar?
Bayangkan bunga ini bunga matahari atau bunga daisi pula. Setiap bunga membawa maksud unik. Fikirkan bagaimana bunga matahari atau daisi mungkin mengubah pemahaman anda terhadap karya ini.
Sekarang, bayangkan bunga ros dalam karya seni ini diubahkan posisinya. Bagaimana jika ia disandarkan secara menegak pada sisi sangkar? Atau jika ia terapung di tengah sangkar, tergantung dari atas dengan tali? Apakah yang dilambangkan dengan setiap posisi ini?
Mari kita renungkan kaitan antara bunga ros dan sangkar. Bagi anda, adakah sangkar ini sebuah struktur pembendung, mengekang pertumbuhan dan kebebasan bunga ros tersebut? Atau adakah ia ruang perlindungan, menawarkan perlindungan dan keselamatan kepada bunga ros tersebut?
Sekarang, bayangkan anda sebahagian daripada karya ini. Adakah anda mengenal pasti diri anda dengan bunga ros di dalam sangkar itu atau dengan sangkarnya itu sendiri? Mungkin anda berasa diri seperti gabungan kedua-duanya? Bagi ramai antara kita, persepsi kita terhadap elemen-elemen karya seni ini mungkin berubah mengikut keadaan semasa kita.
Mungkin ada masa dalam hidup kita, di mana kita terasa terhad dan terkurung, seperti bunga ros dalam sangkar itu. Ada juga masa di mana sesuatu yang dahulu terasa selesa dan selamat, kini terasa membosankan atau membatasi. Kita mungkin merasa ingin keluar dari zon selesa kita, atau mencari pengalaman baharu demi perkembangan diri.
Pada masa lain pula, kita mungkin merasa seperti kita sedang menghalang perkembangan diri sendiri atau orang lain, kerana kita takut, cemas, atau ingin memberikan pelindungan—lebih kurang seperti sangkar dalam karya seni ini.
Tidak kira situasi, amalan bertafakur boleh menjadi cara bermakna untuk memproses apa yang sedang berlaku. Bertafakur boleh membantu kita mengenal pasti apa yang berlegar dalam minda, hati dan tubuh kita, dan membuka ruang untuk merenung. Ia boleh membantu kita memahami sesuatu situasi dengan jelas, mempertimbangkan pilihan yang ada dan mengenal pasti langkah seterusnya.
Cubalah. Tenangkan diri dan tutup mata dengan perlahan jika mahu, atau teruskan dengan tatapan lembut. Tumpukan perhatian kepada pernafasan anda. Selami detik ini.
Perhatikan di mana anda dapat merasakan nafas dalam tubuh anda, dan bagaimana tubuh anda bergerak setiap kali anda menarik nafas dan melepaskannya.
Sambil menarik nafas, cuba kesan titik sentuhan antara tubuh anda dan lantai yang dijejak, menyokong anda. Ketika menghembus nafas, lepaskan sebarang rasa tegang dan izinkan tubuh anda berehat. Terima dan benarkan apa jua pemikiran, emosi dan sensasi tubuh yang mungkin anda alami pada saat ini. Biarkan semuanya hadir begitu sahaja.
Dengan setiap nafas baru, luahkan kasih dan penghargaan kepada diri sendiri. Jika anda selesa, perlahan-lahan peluk tubuh anda dengan penuh kasih sayang, atau letakkan tangan anda di dada, perut atau bahu anda. Nikmati kehangatan dan kebaikan yang anda berikan kepada diri sendiri.
Biarkan dada anda naik dan turun dengan perlahan ketika bernafas. Perlahan-lahan, panjangkan tangan anda ke atas. Perasan tak, postur ini menggalakkan tulang belakang anda bertambah panjang, menarik anda menuju ke atas.
Bila-bila saja pergerakan ini terasa tidak selesa, sila teruskan dengan pergerakan lebih kecil. Dengan latihan ini, matlamatnya adalah untuk melakukan pergerakan yang memberi keselesaan dan terasa sesuai dengan diri anda.
Sekarang, kembalikan tangan anda ke sisi dan rasakan kestabilan postur anda.
Untuk nafas seterusnya, bayangkan anda membuka hati kepada pelbagai kemungkinan yang ada dalam hidup ini, sama ada peluang baharu atau perubahan yang sudah lama bermain dalam fikiran. Cuba kesan sensasi yang muncul di dalam tubuh apabila anda memikirkan kemungkinan-kemungkinan ini. Sampaikan perasaan kasih dan penghargaan kepada diri sendiri atas keberanian untuk mengambil langkah-langkah baharu.
Izinkan setiap nafas untuk mendekatkan anda kepada pelbagai peluang yang hadir dalam hidup anda.
Tarik nafas. Lepaskan. Tarik nafas. Lepaskan.
Ketika kita menghampiri penghujung latihan bertafakur ini, anda mungkin ingin merenung soalan berikut: Apakah satu langkah kecil yang anda boleh ambil untuk keluar dari zon selesa? Mungkin memakai pakaian berwarna lain daripada warna yang anda selalu pakai? Cuba makanan baharu? Mulakan dengan langkah kecil dan rasai sensasi yang dicetuskan. Bagaimanakah tindakan ini dapat memberi makna kepada tanggapan anda tentang kesejahteraan dan perkembangan diri?
Jika mata anda tertutup, sila buka dengan perlahan dan biasakan diri semula dengan persekitaran. Ambil beberapa saat untuk merasai jalinan antara pernafasan anda dan saat ini.
Sekarang, tumpukan perhatian kepada karya di depan anda.
Karya ini dikomisikan oleh pihak Galeri pada 2015 bersempena pameran arkib dari 1974, Towards a Mystical Reality: A Documentation of Jointly Initiated Experiences (Ke Arah Realiti Mistik: Dokumentasi Pengalaman Rekaan Bersama), oleh Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa.
Pameran asal mencabar hubung kait di minda penonton seputar catan dan pembikinan gambar dalam tradisi seni Barat, dengan memaparkan himpunan objek kegunaan harian. Sebagai pameran penting dalam seni konsep, ia menandakan anjakan paradigma dalam cara seni diterima dan dibahaskan dari segi teori di Malaysia. Pameran tersebut menekankan penghayatan kritis, mencabar takrifan lazim berkenaan seni dan menyanggah wacana seni Barat yang lebih dominan.
Karya ini, The Mystical Reality Reinvented: Hua (Realiti Mistik Dicipta Semula: Hua), melambangkan interpretasi semula Sulaiman terhadap pameran dari 1974 dari perspektif masa kini, mencerminkan evolusi amalan seni beliau mengikut peredaran masa.
Kita sudah tiba di penghujung episod Panduan Seni Perlahan ini.
Jika anda menyukai episod ini, anda boleh mendengar episod lain yang memaparkan karya berbeza. Setiap Panduan Seni Perlahan mengandungi amalan tatapan perlahan dan keprihatinan yang membantu anda melihat karya seni dengan penuh makna. Karya-karya yang dipaparkan adalah dari The Care Collection, satu koleksi karya seni dari Koleksi Nasional yang disusun secara tematik untuk menyokong program yang tertumpu pada kesejahteraan diri.
Jika anda memerlukan ruang khusus untuk istirahat sensori dan emosi, anda boleh melawat The Calm Room (Bilik Tenteram) yang terletak di Basement 1 di Sayap City Hall. Di sana, anda boleh mengikuti latihan keprihatinan selama sepuluh minit.
Kini kami mempelawa anda untuk meneruskan lawatan di Galeri. Luangkan masa untuk menikmati seni di sekeliling anda.
Artwork details
- Artist Name
- Sulaiman Esa
- Full Title
- The Mystical Reality Reinvented: Hua
- Time Period
- 2016
- Medium
- Painted rattan cage and artificial rose
- Extent Dimensions (cm)
- Dimensions 2D: null: 76 x 42 cm
Dimensions 3D: Object Dimensions: 90 x 57 x 57 cm - Credit Line
- Collection of National Gallery Singapore. © Sulaiman Bin Esa
- Geographic Association
- Malaysia
- Accession Number
- 2017-00533