Album Singapura dan Asia Tenggara
Apakah kisah tentang Singapura yang cuba disampaikan oleh gambar-gambar foto dan poskad ini? Sebuah kisah yang kelihatan teratur, indah, penuh harapan, malah eksotik? Itulah tujuannya. Kemungkinan besar itulah naratif yang ingin ditonjolkan oleh pihak berkuasa kolonial. Dihasilkan oleh studio G.R. Lambert & Co., imej-imej ini bukan sekadar rakaman. Ia turut mencorak pandangan dunia terhadap Asia Tenggara pada zaman kolonial.
Ditubuhkan pada tahun 1867 oleh Gustave Richard Lambert, studio ini mencapai kejayaan besar menjelang tahun 1890-an, sehingga dilantik sebagai jurugambar rasmi kepada Raja Siam dan Sultan Johor. Ini merupakan satu penghormatan yang jarang diperolehi pada waktu itu. Bagi kerabat diraja Asia Tenggara, gambar-gambar foto tersebut bukan sekadar memaparkan rupa paras, malah ia melambangkan kemodenan serta pengaruh kuasa fotografi yang semakin berkembang.
Diedarkan sebagai poskad bergambar, pemandangan yang disusun rapi ini merentasi lautan luas, lalu mempengaruhi imaginasi masyarakat luar terhadap wilayah tropika. Namun, zaman kegemilangan ini tidak bertahan lama. Rentetan tercetusnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1914, permintaan terhadapnya kian pudar sehingga memaksa studio ini menamatkan operasinya.
Meskipun begitu, gambar-gambar foto Lambert mengingatkan kita tentang satu hakikat yang kekal: kuasa imej dalam memasarkan idea sesebuah tempat, lama sebelum seseorang itu menjejakkan kakinya ke sana. Lama-kelamaan, para seniman di rantau ini mula memberikan respons terhadap representasi luaran ini. Mereka menawarkan naratif mereka sendiri, yang diinspirasikan oleh masyarakat, tempat, dan budaya di rantau ini.
