Siri Rahim #7
Walaupun Akrobatik Han karya Tan Oe Pang dan Siri Rahim #7 oleh Susie Wong kedua-duanya menampilkan subjek manusia, mereka dipersembahkan dengan cara yang berbeza. Di sini, subjek manusia tersebut kaku. Seorang wanita tua, dalam keadaan bogel, meringkuk dalam posisi janin. Dia memalingkan diri ke dalam, menjauhi kita, tidak meminta untuk dilihat, mahupun beraksi untuk sesiapa.
Kebanyakan gambaran tubuh wanita berbogel cenderung untuk mengagungkan kecantikan dan keremajaan. Jadi mengapakah Wong memilih untuk memaparkan tubuh yang lebih berusia, tanpa perlindungan dan tanpa hiasan? Selama berabad-abad, tubuh bogel wanita sering dilukis oleh lelaki, lazimnya melalui lensa keinginan atau kesempurnaan estetik. Namun di sini, seorang wanita melukis wanita lain. Karya ini mengajak kita untuk menilai semula bagaimana tubuh wanita dilihat dan siapakah yang berhak untuk memandangnya.
Lukisan Wong menyentuh tentang genre yang lama dianggap sensitif, malah tabu, terutamanya dalam kebanyakan konteks Asia di mana kebogelan sering kali disalah anggap sebagai lucah. Pada tahun 1990-an, ketika bentuk seni baharu mula muncul, Wong, Jimmy Ong dan seniman yang dikaitkan dengan Group 90 tetap komited terhadap kajian susuk tubuh manusia dalam seni mereka. Pada masa tiada platform formal untuk mempelajari lukisan bogel, Wong telah memulakan sesi melukis potret hidup di rumahnya sendiri. Beliau mewujudkan ruang tidak rasmi untuk kaum wanita dengan menjemput ahli keluarga dan rakan-rakan yang bersedia untuk menjadi model. Sesi-sesi ini bersifat peribadi. Ia mewujudkan ruang dan peluang bagi kedua-dua seniman dan model untuk merenung, membina hubungan dan meneroka jati diri.
