Memperbaiki Jaring Ikan
Garisan yang kuat. Warna-warna terang. Palet Chen Cheng Mei sengaja dipilih, seperti yang dapat dilihat dalam karya-karya di sekeliling anda. Seperti rakan seniman Annaratnam Gunaratnam, Chen merupakan salah seorang daripada segelintir seniman wanita yang aktif dalam dunia seni Singapura pada waktu itu. Beliau mampu mengejar seni secara profesional, sebahagiannya berkat sokongan keluarganya.
Chen juga merupakan ahli Ten Men Art Group, sebuah kolektif seniman yang mengembara bersama-sama untuk mencari inspirasi baharu. Perjalanan mereka merentasi rantau ini membuka mata mereka kepada pelbagai budaya dan masyarakat yang berbeza. Kadangkala, Chen mengembara sendirian. Dan beliau tidak berhenti di rantau ini sahaja. Beliau pergi lebih jauh ke Afrika dan Asia Selatan; negara-negara yang, seperti Singapura, sedang mencari kedudukan mereka selepas kemerdekaan.
Perjalanan ini membentuk cara Chen mendekati seninya dan penggunaan warnanya. Bagi Chen, warna bukan sekadar visual. Ia bersifat emosional. Seorang rakan seniman mengimbau bahawa Chen jarang menggunakan cat terus dari tiub. Sebaliknya, beliau akan mencampur dan melapis sehingga menemui rona tepat yang menzahirkan perasaannya; dan kerapkali, perasaan itu adalah kegembiraan yang ditemui dalam perjalanannya.
Perhatikan bagaimana Chen meninggalkan butiran wajah dalam beberapa karyanya, dan sebaliknya mengarahkan perhatian kita kepada pakaian atau latar tempat subjeknya. Subjeknya mungkin memandang ke arah lain atau berada di latar belakang. Apa maksud Chen? Mungkin melihat tidak sama dengan mengenali. Sentiasa ada jurang antara seniman dan subjek, pengembara dan tempat. Di perhentian seterusnya, anda akan bertemu dengan seorang lagi seniman yang meneruskan penerokaan maksud melihat.
Artwork details
Dimensions 3D: Frame measure: 8.5 x 60.5 x 3.3 cm
